Penghijrahan
sebahagian para sahabat ke Habsyah pada tahun kelima selepas nubuwwah (selepas
Nabi diutus menjadi Rasul) adalah merupakan perintis jalan kepada hijrah
yang lebih besar dan penting dalam sejarah perjuangan Rasulullah S.A.W..
Peristiwa hijrah ke Madinah merupakan peristiwa penting di dalam sejarah
Islam, kerana ekoran darinya terbentuk sebuah negara Islam di Madinah.
Gambaran awal bahawa
Rasulullah S.A.W. akan berhijrah telah diutarakan oleh Waraqah bin
Naufal sewaktu Baginda S.A.W.. mula-mula menerima wahyu yang pertama dan
Allah S.W.T. Kata Waraqah:
"Demi Tuhan yang diriku berada didalam
genggamanNya, sesungguhnya kamu adalah nabi bagi umat ini. Kamu telah
didatangi malaikat Jibril yang pernah datang menemui Nabi Musa a.s.
Demi sesungguhnya kamu akan dibohongi, disakiti, dihalau dan akan
diperangi. Jika aku berkesempatan dengan hari itu, nescaya aku akan
menolongmu untuk menegakkan agama Allah dengan pertolongan yang
diketahuiNya."
Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya,
"Tidak ada hijrah selepas pembukaan Kota
Mekah kecuali jihad dan niat"
Di dalam kitab
Mestika Hadis telah menghuraikan bahawa perjuangan agama dan niat yang
baik tidak terhad masanya bahkan sentiasa tertuntut untuk diamalkan oleh
setiap umat Islam selagi hayat dikandung badan. Tuntutan hijrah berlaku
sepanjang zaman seperti berhijrah dari satu tempat yang tidak ada tempat
untuk belajar ilmu ke tempat yang boleh menuntut ilmu, juga dari satu
tempat yang banyak melakukan maksiat ke tempat yang tidak ada maksiat.
Sebab-sebab berhijrah
Di antara sebab mengapa Rasulullah S.A.W. berhijrah ke
Madinah ialah :
-
Penolakan Kafir Quraisy, juga penduduk Taif terhadap dakwah Islam
yang dijalankan oleh baginda.
-
Jemputan penduduk Madinah yang telah memeluk Islam apabila mereka
berkunjung ke Mekah pada musim haji, supaya Rasulullah S.A.W.
berhijrah ke Madinah. Ini berlaku setelah termeterinya Perjanjian
Aqabah I dan Perjanjian Aqabah 2, dimana penduduk-penduduk Madinah
(yang telah menerima Islam) telah bersumpah setia untuk melindungi
baginda dari segi keselamatan agama Islam itu sendiri. Ini
menampakkan bahawa hijrah tersebut diiringi bersama iman dan
jihad.
-
Rasulullah S.A.W. memerlukan tapak baru yang lebih baik, kerana
percubaan untuk mengembangkan Islam di Mekah dan Taif tidak
mendapat sambutan yang menggalakkan, malah tekanan terhadap
baginda semakin hebat. Sebab-sebab berlakunya penentangan dari
Musyrikin Quraisy terhadap dakwah baginda antaranya adalah
disebabkan faktor agama, sosial, politik dan ekonomi.
-
Kemungkinan besar dakwah akan lebih mendapat sambutan di Madinah,
kerana disamping kumpulan Aus dan Khazraj terdapat juga sokongan
daripada Ahli Kitab (Yahudi) yang menceritakan kebangkitan Nabi
akhir zaman itu mendiami Kota Madinah.
Hijrah; Korbankan Kepentingan Diri
Peristiwa hijrah
merupakan ujian keimanan kepada para sahabat. Mereka yang yakin kepada
Allah dan RasulNya serta kasih kepada Rasulullah lebih dari kasih kepada
keluarga, harta benda dan sebagainya telah bertekad untuk berhijrah dari
Mekah ke Madinah. Sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. seperti Suhaib
ar-Rumi contohnya telah berhijrah meninggalkan kekayaannya di Mekah demi
untuk bersama baginda.
Di dalam Al-Quran, Allah S.W.T. berfirman, maksudnya:
"Dan di antara manusia ada orang yang
mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah dan Allah itu Maha
Penyantun terhadap hamba-hambaNya"
(al-Baqarah:
207)
Ali bin Abi Talib
yang masih muda juga sanggup menggantikan tempat tidur Rasulullah S.A.W.
sebagai suatu muslihat untuk mengelirukan musyrikin Quraisy apabila
mereka merancang untuk membunuh Rasulullah S.A.W. kerana sekiranya
Rasulullah S.A.W. berjaya mengumpul para penyokong di luar Kota Mekah
hal tersebut akan memberikan tamparan hebat kepada kekuasaan mereka.
Amir bin Fuhairah,
hamba Abu Bakar as-Siddiq pula telah memainkan peranan menghapuskan
kesan perjalanan ke Gua Thur dengan membawa kambing-kambingnya yang
banyak.
Abdullah bin Abu
Bakar pula telah bertindak sebagai pengintip yang memerhatikan gerak
laku Musyrikin Quraisy serta melaporkan kepada Rasulullah S.A.W..
Asma' binti Abu
Bakar yang mewakili kaum muslimat telah berperanan menghantar bekalan
makanan kepada Rasulullah S.A.W. dan ayahnya iaitu Abu Bakar As-Siddiq
yang sedang bersembunyi di Gua Thur.
Malah Abu Bakar As-Siddiq
seorang sahabat yang setia telah menemani Rasulullah S.A.W. hingga akhir
hijrah. Firman Allah maksudnya:
"Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi
Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya (iaitu) ketika
orang-orang kafir (Musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari negeri Mekah)
sedang dia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung
di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya, "Janganlah
engkau berdukacita sesungguhnya Allah bersama-sama kita”. Maka Allah
menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan
menguatkannya dengan bantuan tentera (Malaikat) yang kamu tidak dapat
melihatnya, Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir
terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam)
yang tertinggi (selama-lamanya) kerana Allah Maha Kuasa lagi Maha
Bijaksana"
(at-Taubah:
40)
Berlainan pula
dengan Saidina Umar al-Khattab yang mengisytiharkan bahawa beliau akan
berhijrah secara terang-terangan. Umar berucap kepada orang-orang
Quraisy;
"Sesiapa yang mahu ibunya kehilangan anak,
meyatimkan anaknya, atau menjandakan isterinya,, silalah berjumpaku di
belakang lembah ini. "
Begitu pun ada juga
yang menyesal kerana lewat berhijrah disebabkan berlakunya gangguan anak
isteri serta keluarganya. Apabila mereka sampai ke Madinah rasa didapati
bahawa para sahabat yang berhijrah terlebih awal daripadanya mendapat
lebih banyak ilmu-ilmu agama kerana pada setiap hari mereka mendengar
kuliah dari Baginda. Lalu mereka yang baru berhijrah menyesal di atas
sikap anak isterinya kerana menyebabkan dirinya mendapat kerugian. Allah
S.W.T berfirman maksudnya:
" Wahai orang-orangyang beriman!
Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang
menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu
terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak memarahi (mereka)
serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian
kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihi)."
(at-Taghabun:
14)
Tetapi yang paling
malang ialah mereka yang telah beriman tetapi enggan berhijrah kerana
memikirkan kepentingan bahkan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik dan
sanggup menyertai peperangan Badar untuk menentang saudara-saudara
seIslam sehinggakan ada diantaranya yang terbunuh di sana, walhal mereka
masih boleh berikhtiar untuk menyelamatkan diri. Allah S.W.T berfirman
maksudnya:
"Sesungguhnya orang-orang yang diambil
nyaivanya oleh Malaikat semasa mereka sedang menganiayai diri sendiri
(kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh
kaum kafir Musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan
berkata:"Apakah yang telah kamu lakukan mengenai agama kamu?
Mereka menjawab: "Kami dahulu ialah orang-orang yang tertindas di
bumi," Malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas,
yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?"Maka
orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah
neraka jahanam, dan neraka jahanam itu ialah seburuk-buruk tempat
kembali."
(an-Nisa':97)
Perancangan serta aktiviti yang
dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. selepas hijrah adalah:
-
Membina masjid yang merupakan usaha pertama yang
dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. bertujuan antara lainnya ialah
untuk menegakkan syiar Islam.
-
Mempersaudarakan golongan Muhajirin (para sahabat
yang berhijrah dari Mekah) dengan golongan Ansar (penduduk Madinah
yang terdiri dari puak Aus dan Khazraj), dengan meletakkan Islam
sebagai ikatannya. Perpaduan yang diasaskan atas dasar iman ini
telah menolak cara hubungan sebelum ini yang berdasarkan kepada
keturunan, warna kulit, tanah air dan sebagainya. Oleh itu baginda
bersabda:
"Allah S.W.T tidak melihat kepada rupa
paras kamu dan bentuk tubuh badan kamu, tetapi Allah melihat
kepada hati dan amalan kamu."
(Bukhari
& Muslim)
Allah Juga berfirman, maksudnya:
"Berpegang teguhlah kamu sekalian
kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai,
dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu
bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan
di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat
Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah orang-orang Islam
yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang
neraka (disebabkan kekafiran kamu semasa jahiliah), lalu Allah
selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga).
Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya,
supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya."
(ali-imran:
103)
- Mengatur Piagam Madinah (Sahifah Madinah) yang
merupakan perjanjian di antara pihak pemimpin dengan rakyat yang
mengandungi 47 fasal. la boleh disimpulkan sebagai dasar negara
seperti:
- Mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar.
- Menjelaskan kedudukan orang bukan Islam di dalam sebuah negara
Islam.
- Mengisytiharkan negara Madinah sebagai sebuah negara Islam.
-
Meletakkan hukum yang tertinggi iaitu hukum Allah (Al-Quran) dan
Al-Hadith untuk dilaksanakan.
-
Menjadikan Rasulullah S.A.W. sebagai ketua negara dan kepimpinan
negara seterusnya mestilah terdiri dari kalangan orang Islam.
Pengajaran Hijrah
-
Berjaya menegakkan negara Islam di Madinah serta dapat
melaksanakan hukum Allah S.W.T. dengan Rasulullah S.A.W. sebagai
ketua negaranya.
-
Dapat membentuk satu pasukan tentera yang mantap sebagai
persediaan dalam menghadapi musuh dan menjaga keselamatan negara.
-
Memperkembangkan dakwah menjadi semakin luas di mana pengaruh
Islam tersebut bukan sahaja tersebar di Tanah Arab malah ke
daerah-daerah di luar dari Semenanjung Tanah Arab.
-
Ekonomi masyarakat Islam bertambah maju.
Kejayaan yang dicapai di sebalik
peristiwa hijrah itu merupakan hasil perancangan serta perjuangan gigih
Rasulullah S.A.W.berserta para sahabat yang diiringi dengan pertolongan
Allah S.W.T.
Firman Allah maksudnya:
"Dan sesungguhnya Allah akan menolong
sesiapa yang menolong agamanya (Agama Islam); sesungguhnya Allah Maha
Kuat, lagi Maha Berkuasa.”
(al-Haj:40)
Sebenarnya peristiwa
hijrah Rasulullah s.a.w. dari Mekah ke Madinah merupakan peristiwa yang
paling penting kerana dengan hijrahlah Islam terus berkembang maju bukan
sahaja di Semenanjung Tanah Arab malah tersebar luas ke seluruh dunia.
Dengan peristiwa itulah maka para sahabat telah mencadangkan supaya
kalendar Islam dikira dari permulaan hijrah.
|